5 April 2012 - Akhir-akhir ini, pertembungan kaum cuba dimanipulasi
secara melampau termasuklah media massa yang turut menyimbah minyak ke atas api
pertikaian yang marak. Jika dahulu, PAS dilabel sebagai parti rasis, radikal
dan sebagainya. Maka hari ini seolah-olah label itu telah bertukar ke arah
parti yang memfitnahnya. Perlulah disedari, PAS sendiri tidak pernah bersikap
perkauman sejak dari dahulu hinggalah ke hari ini. Label-label yang negatif
yang dipakaikan oleh pihak media langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti
merupakan tuduhan jahat.
Perjuangan PAS sendiri bukanlah mengajak kepada
menegakkan idealisme perkauman yang sempit tetapi mengajak manusia untuk
mengabdikan diri kepada Allah S.W.T selaku pencipta alam semesta.
Dunia yang indah ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya
tanpa Pencipta. Akal logk tentu sekali tidak dapat menafikan wujudnya kuasa
yang mengatur perjalanan alam yang begitu tersusun ini.
Peredaran bulan dan bintang, pergantian malam dan
siang yang begitu teratur mustahil wujud kecuali adanya kuasa yang mencipta dan
mengurus tadbirnya. Kita tentu sekali boleh menerima bagaimana tubuh badan
manusia yang terdiri daripada pelbagai anggota dan beribu-ribu sendi hanya
dikawal oleh akal sebagai papan kawalan utama.
Demikianlah juga sebuah kilang yang terdiri daripada
pelbagai jentera dan mesin namun kesemuanya hanya digerakkan dengan hanya
menekan suis utama. Maka begitu jugalah alam semesta yang begitu hebat ini
tentulah ditadbir oleh satu kuasa saja. Kuasa ini esa, tidak ada dua dan tiganya.
Dalam ajaran Islam, Kuasa Yang Maha Mencipta ini
disebut Allah SWT. Dialah Tuhan yang menciptakan alam ini untuk kehidupan
manusia. Dialah juga yang menciptakan manusia bermula dari seorang lelaki yang
dinamakan Adam dan dijadikan pula dari Adam itu isterinya Hawa. Ini disebut di
dalam firmanNya (surah An Nisa’:1) yang bermaksud :
"Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada
Tuhan-mu yang Telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah
menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan
laki-laki dan perempuan yang banyak".
Merujuk kepada firman Allah S.W.T ini, agama Islam
mengajar penganutnya agar meyakini bahawa semua manusia ini berasal dari bapa
yang sama iaitu Adam. Walau apapun warna kulit, manusia sebenarnya bersaudara
atau adik-beradik kerana datang dari sulbi yang sama atau satu keturunan.
Sebutlah apa nama bangsa sekalipun, ia tetap
merupakan anak cucu kepada Nabi Adam. Justeru, langsung tidak timbul soal
bangsa dan warna kulit di dalam Islam. Bangsa, bahasa dan warna kulit tidak
lain hanyalah merupakan unsur atau ciri untuk membezakan manusia.
Oleh yang demikian, ia tidak patut dijadikan punca
manusia bersengketa antara satu sama lain. Sekalipun secara fitrahnya manusia
tentulah menyintai bangsanya sendiri lebih daripada bangsa yang lain, namun
cinta dan kasih itu tidaklah menghalalkan dirinya untuk melakukan kezaliman dan
ketidakadilan kepada bangsa yang lain.
Realiti perjuangan Islam
Menghayati maksud firman Allah SWT ini, maka inilah
perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang
Maha Mencipta alam ini iaitu Allah SWT. Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu
satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah
Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya
PAS.
Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini,
matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau
sejengkal. Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah SWT sebagai pencipta dan
mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan hanya di tikar sejadah
tetapi di medan siasah.
Allah itu yang disembah di dalam solat, Allah itu
jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa
oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO
bertindak keluar menubuhkan PAS.
Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang
menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang
melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari
matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat.
Kita mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini
bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan manusia hanya bertaraf
penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat
agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam
akhirat. Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa
ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah SWT.
PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau
sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan
jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya.
Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap
Islam menjadi tali pengikatnya. Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada
peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang
perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu
dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu
dipatuhi.
Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat
nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua
enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran
selaku lidah rasmi Allah SWT atau disebut sebagai kalamullah.
Sinar Islam memenuhi harapan
Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud
sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah
harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang
sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu.
Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui
mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam
yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi
harapan kita semua. Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India
lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu.
Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan
baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan
kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan
menerima Islam. Ingatlah, sesungguhnya Allah S.W.T hanya akan memuliakan
sesuatu bangsa itu dengan Islam. Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan
menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya. Sebagaimana
firmanNya (surah Muhammad:38) yang bermaksud :
"Dan jika kamu berpaling (daripada beriman,
bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain;
dan mereka tidak akan seperti kamu ini. Semoga setiap amalan yang kita lakukan
mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan
dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam".