Halaman

Khamis, 5 April 2012

Sinar Islam For All..


5 April 2012 - Akhir-akhir ini, pertembungan kaum cuba dimanipulasi secara melampau termasuklah media massa yang turut menyimbah minyak ke atas api pertikaian yang marak. Jika dahulu, PAS dilabel sebagai parti rasis, radikal dan sebagainya. Maka hari ini seolah-olah label itu telah bertukar ke arah parti yang memfitnahnya. Perlulah disedari, PAS sendiri tidak pernah bersikap perkauman sejak dari dahulu hinggalah ke hari ini. Label-label yang negatif yang dipakaikan oleh pihak media langsung tidak benar dan hari ini ia terbukti merupakan tuduhan jahat.


Perjuangan PAS sendiri bukanlah mengajak kepada menegakkan idealisme perkauman yang sempit tetapi mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah S.W.T selaku pencipta alam semesta.
Dunia yang indah ini tidak mungkin wujud dengan sendirinya tanpa Pencipta. Akal logk tentu sekali tidak dapat menafikan wujudnya kuasa yang mengatur perjalanan alam yang begitu tersusun ini.
Peredaran bulan dan bintang, pergantian malam dan siang yang begitu teratur mustahil wujud kecuali adanya kuasa yang mencipta dan mengurus tadbirnya. Kita tentu sekali boleh menerima bagaimana tubuh badan manusia yang terdiri daripada pelbagai anggota dan beribu-ribu sendi hanya dikawal oleh akal sebagai papan kawalan utama.
Demikianlah juga sebuah kilang yang terdiri daripada pelbagai jentera dan mesin namun kesemuanya hanya digerakkan dengan hanya menekan suis utama. Maka begitu jugalah alam semesta yang begitu hebat ini tentulah ditadbir oleh satu kuasa saja. Kuasa ini esa, tidak ada dua dan tiganya.

Dalam ajaran Islam, Kuasa Yang Maha Mencipta ini disebut Allah SWT. Dialah Tuhan yang menciptakan alam ini untuk kehidupan manusia. Dialah juga yang menciptakan manusia bermula dari seorang lelaki yang dinamakan Adam dan dijadikan pula dari Adam itu isterinya Hawa. Ini disebut di dalam firmanNya (surah An Nisa’:1) yang bermaksud :

"Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang Telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak".

Merujuk kepada firman Allah S.W.T ini, agama Islam mengajar penganutnya agar meyakini bahawa semua manusia ini berasal dari bapa yang sama iaitu Adam. Walau apapun warna kulit, manusia sebenarnya bersaudara atau adik-beradik kerana datang dari sulbi yang sama atau satu keturunan.

Sebutlah apa nama bangsa sekalipun, ia tetap merupakan anak cucu kepada Nabi Adam. Justeru, langsung tidak timbul soal bangsa dan warna kulit di dalam Islam. Bangsa, bahasa dan warna kulit tidak lain hanyalah merupakan unsur atau ciri untuk membezakan manusia.


Oleh yang demikian, ia tidak patut dijadikan punca manusia bersengketa antara satu sama lain. Sekalipun secara fitrahnya manusia tentulah menyintai bangsanya sendiri lebih daripada bangsa yang lain, namun cinta dan kasih itu tidaklah menghalalkan dirinya untuk melakukan kezaliman dan ketidakadilan kepada bangsa yang lain.

Realiti perjuangan Islam

Menghayati maksud firman Allah SWT ini, maka inilah perjuangan Islam di bawa PAS yang ingin membawa masyarakat mengenali Tuhan Yang Maha Mencipta alam ini iaitu Allah SWT. Inilah hasrat para ulama Tanah Melayu satu ketika dahulu yang mengambil inisiatif menubuhkan Parti Islam Se-Tanah Melayu dan hari ini dikenali sebagai Parti Islam Se-Malaysia atau singkatnya PAS.

Dari awal penubuhannya hinggalah ke hari ini, matlamatnya tidak pernah lari walau seinci, tidak pernah berganjak walau sejengkal. Misi utamanya ialah memperkenalkan Allah SWT sebagai pencipta dan mengajak manusia mengabdikan diri kepada Allah SWT bukan hanya di tikar sejadah tetapi di medan siasah.

Allah itu yang disembah di dalam solat, Allah itu jugalah yang disembah di dalam pentadbiran. Inilah hakikat yang tidak dibawa oleh UMNO yang menyebabkan para alim ulama yang asalnya berada di dalam UMNO bertindak keluar menubuhkan PAS.

Sejak 50 tahun yang lampau, kita tidak pernah lekang menyebut hakikat ini di hadapan rakyat jelata. Jatuh bangun kita sepanjang melalui jalan politik ini tidak pernah menjauhkan kita walau sedikit dari matlamat utama memperkenalkan Islam yang tulen kepada masyarakat.


Kita mengajak semua lapisan rakyat untuk meyakini bahawa dunia ini diciptakan oleh Allah SWT dengan manusia hanya bertaraf penumpang walau sebesar manapun pangkat dan kuasanya. Kita juga menyeru rakyat agar meyakini bahawa selepas hidup ini akan tiba kehidupan yang lain iaitu alam akhirat. Di alam akhiratlah segala amalan manusia akan dibalas tanpa ditinggalkan sedikitpun oleh Hakim Yang Maha Adil iaitu Allah SWT.

PAS akan terus menongkat cita-cita murni ini walau sehebat manapun gelora yang membadai. Kita penuh yakin bahawa UMNO tidak akan jujur di dalam memperkenalkan Islam kepada rakyat Malaysia khususnya.

Bagi kita, ke hulu atau ke hilir kita berakit, tetap Islam menjadi tali pengikatnya. Jika kita boleh menerima bahawa di rumah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh anak-anak, di sekolah ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh para pelajar, di dalam negara ada peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat, maka sudah tentu di bumi ada peraturan yang perlu dipatuhi.

Peraturan tersebut ialah Islam dan bukan semangat nasionalis yang membawa kepada ideologi perkauman yang sempit. Kesemua enakmen-enakmen peraturan hidup di dunia ini telah termaktub di dalam al-Quran selaku lidah rasmi Allah SWT atau disebut sebagai kalamullah.
Sinar Islam memenuhi harapan

Harapan masyarakat Malaysia adalah untuk mewujud sebuah kehidupan aman, damai, sejahtera dan harmoni berteraskan agama. Besarlah harapan agar kita semua dapat menjernihkan pandangan kita terhadap Islam yang sekian lama disolekkan dengan wajah yang comot oleh pihak-pihak yang tertentu.

Segala prejudis dan salah faham yang sering mengabui mata hendaklah dicuci sama sekali, agar kita semua dapat melihat warna Islam yang sebenar. Sesungguhnya sinar Islam adalah cahaya yang boleh memenuhi harapan kita semua. Sejarah sendiri menyaksikan bagaimana orang Cina dan India lebih dahulu menerima Islam berbanding orang Melayu.

Ia berlaku kerana sinar Islam itu dipancarkan dengan baik kepada mereka. Ia cukup membuktikan bahawa Islam tidak asing di kalangan kedua-dua bangsa ini. Justeru, kepada sahabat sebangsa saya yang masih enggan menerima Islam. Ingatlah, sesungguhnya Allah S.W.T hanya akan memuliakan sesuatu bangsa itu dengan Islam. Tanpa Islam, Allah SWT pastinya akan menggantikan kaum yang lain untuk menerajui pentadbiran di bumiNya. Sebagaimana firmanNya (surah Muhammad:38) yang bermaksud :

"Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertakwa dan berderma) nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain; dan mereka tidak akan seperti kamu ini. Semoga setiap amalan yang kita lakukan mendapat ganjaran di sisi Allah SWT, maka bersetujulah kita dengan kemuliaan dan kebesaran-Nya yang merahmati umat manusia ini dengan sinar Islam".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...